KHAMIS,24 MAC 2022
KUCHING : Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak bakal mengembangkan cawangan APM di seluruh daerah di Negeri Sarawak.
Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, Yang Setia PPj. (PA) Mohtar Samat memaklumkan, ketika ini APM Sarawak mempunyai 21 pejabat pentadbiran dan memerlukan 24 lagi untuk memenuhi 45 daerah di negeri ini.
“Setelah dibangkitkan dan dipersetujui bersama, kita akan mengembangkan APM Sarawak untuk menubuhkan pusat pentadbiran APM di seluruh daerah di Negeri Sarawak,
“Buat masa ini kita mempunyai 21 pejabat APM, kita memerlukan 24 lagi pejabat untuk memenuhi 45 daerah di Sarawak.
“Walaupun berkemungkinan usaha itu bakal mengambil masa, namun perancangan itu perlu dilakukan bagi memastikan setiap daerah penuh memiliki pentadbiran angkatan pertahanan awam,” katanya semasa bercakap dengan media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam (APM) Ke-70 di Pusat Pertahanan Awam Negeri Sarawak (PUSPA), Kuching pada Khamis.
Tambah Mohtar, perancangan awal pembukaan pejabat pentadbiran tersebut adalah di Simunjan, Selangau dan Pakan.
Mengulas mengenai Sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam yang bertemakan “Sukarelawan Pertahanan Awam Pemangkin Sigap Keluarga Malaysia”, beliau berkata ianya akan disambut secara serentak di seluruh negeri.
Tambah beliau, sambutan tersebut adalah bertujuan mengimbau perjalanan, pembangunan, pencapaian dan hala tuju APM selaku salah satu komponen penting pasukan keselamatan negara.-EDISI UKAS