Kenaikan Gaji Minimum Ke RM1,500 Dijangka Memberi Impak Positif Kepada Ekonomi

KHAMIS, 24 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap pelaksanaan kadar gaji minimum baharu iaitu sebanyak RM1,500 sebulan dapat memberi impak yang positif kepada negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan Murugan berkata, kerajaan yakin pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat melalui fasa dalam Pelan Pemulihan Negara akan memberi kesan positif di mana kebanyakan perniagaan pada masa ini dilihat menunjukkan trend peningkatan.

“Dalam pada itu, kenaikan gaji minimum ini dijangka akan dapat menyumbang kepada pendapatan isi rumah yang lebih tinggi serta meningkatkan sumbangan pampasan pekerja terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus,’’ jelasnya dalam jawapan bertulis sebagai menjawab Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau memberitahu, ianya juga dapat bantu mencapai sasaran gaji dan upah penengah bulanan sebanyak RM2,900 menjelang 2025 seperti mana dihasratkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Ujar beliau lagi, KDNK Malaysia mencatatkan peningkatan 3.6 peratus pada suku keempat 2021 manakala prestasi ekonomi dijangka akan terus berkembang pada kadar 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun 2022 berdasarkan unjuran dalam dokumen Bajet 2022.

“Kerajaan mengambil maklum mengenai maklum balas dari pihak industri serta majikan bahawa ini bukan masa terbaik untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum.

“Namun, kedudukan pekerja yang turut terjejas ekoran wabak COVID-19 dan peningkatan kos sara hidup perlu ditimbangkan juga,’’ tegas beliau lagi.

Datuk Seri Saravanan menjamin, penetapan kadar gaji minimum ini telah dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan pihak majikan, pekerja dan kerajaan bagi menjamin kelangsungan operasi syarikat di samping memastikan pekerjaan pekerja dapat dikekalkan.

“Pada ketika ini, satu penelitian sedang dibuat berkaitan kaedah pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 ini,’’ tambahnya lagi.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lepas telah mengumumkan bahawa perintah tersebut akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei depan.

Terdahulu, Dato Sri Tiong mengemukakan soalan berkenaan maklum balas industri terhadap cadangan kenaikan gaji minimum itu serta kesan jangkaan pelaksanaannya terhadap ekonomi negara. -Edisi UKAS

add comment