Perbincangan Lanjut Kesiapsiagaan Pembukaan Sempadan Malaysia – Brunei

KHAMIS, 24 MAC 2022

MIRI: Satu penyelarasan lanjut mengenai kesiapsiagaan pembukaan sempadan Malaysia – Brunei telah diadakan di Jabatan Imigresen Malaysia, Sungai Tujoh Miri pada Selasa. 

Perbincangan itu bagi membincangkan protokol untuk pengembara seperti yang telah digariskan Kerajaan Malaysia sempena pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022. 

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datu Ik Pahon Joyik, ini termasuklah syarat prapelepasan yang perlu diselesaikan pengembara dari Negara Brunei Darussalam antaranya memuat turun aplikasi MySejahtera serta menjalani Ujian Pengesanan COVID-19: Ujian RTK Antigen (RTK-Ag) untuk dibenar masuk.

“Papan tanda serta petunjuk arah yang jelas agar pengembara maklum mengenai proses yang akan dilalui di Kompleks ICQS.

“Perkhidmatan Ujian RTK Antigen (RTK-Ag) beserta pentafsiran keputusan ujian kepada pihak swasta,” katanya semasa mempengerusi Mesyuarat Mengenai Pembukaan Semula Sempadan Miri – Brunei  di Jabatan Imigresen Malaysia, Sungai Tujoh Miri pada Selasa. 

Untuk rekod, jumlah kemasukan dan keluar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Miri pada hari biasa masing-masingnya adalah di antara 3,000 hingga 4,000 orang manakala pada hujung minggu ialah 5,000 hingga 6,000 orang serta pada cuti umum adalah di antara 6,000 hingga 7,000 orang sehari.

Selepas mempengerusikan mesyuarat, Datu Ik Pahon yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut melakukan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Miri bagi meninjau keperluan serta kesiapsiagaan di kompleks tersebut menjelang pembukaan sempadan pada 1 April ini. 

Hadir sama Timbalan Pengarah Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Datuk Clarence Rorote Sagan, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Bin Hj. Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Miri Mohamad Afizi Salam dan wakil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigersen Malaysia (JIM) Sarawak, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM).-EDISI UKAS

add comment