Projek Rakyat Di Debak Bernilai RM4.5 Juta Kini Di Fasa Akhir

KHAMIS, 24 MAC 2022

DEBAK : Projek Naiktaraf Jalan Dit Ke Belassau, di Debak di bawah projek rakyat kini telah berada di fasa terakhir.

Projek bernilai RM4.5 juta yang diperuntukkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu melibatkan kerja-kerja menurap jalan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam, kerajaan GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak sangat serius dalam usaha menyediakan kemudahan yang terbaik untuk penduduk di luar bandar.

“Dengan siapnya projek jalan di Belassau ini nanti, akan memberi keselesaan kepada penduduk di rumah panjang di sini dalam membantu mereka ulang-alik dari pekan Debak. Malah dengan jalan ini juga dapat merancakkan sektor pertanian penduduk di sini.

“Malah berbanding dengan jalan lama, ia akan lebih luas kerana jalan yang lama terlalu sempit serta rendah yang mana mudah dinaiki air sekiranya berlaku musim hujan.

“Maka dengan jalan yang lebih tinggi ini akan lebih memberi keselesaan kepada penduduk di sekitar rumah panjang disini nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Razi yang mewakili Rumah Panjang Belassau dan kawasan sekitarnya, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari kerana mengambil berat keperluan penduduk di situ.-EDISI UKAS

add comment