UTS Dan Yayasan Farley Jalin Kerjasama Bantu Belia Lanjutkan Pengajian Tinggi

RABU, 23 MAC 2022

SIBU : Universiti Teknologi Sarawak (UTS) telah mengadakan majlis menandatangani perjanjian (MoU) dengan Yayasan Farley di UTS, Sibu pada Selasa.

MoU tersebut bertujuan menjalinkan kerjasama dalam membantu golongan muda yang menghadapi kekangan kewangan melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi serta untuk mewujudkan hubungan yang saling menguntungkan yang dibina atas kerjasama akademik.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Kanselor UTS, Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid bersama Presiden Yayasan Farley, Eijing Lau dan Pengurus Sumber Manusia Farley Sibu, Chew Hock Kheng.

Hadir menyaksikan majlis perjanjian tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap ADUN Nangka dan Pengerusi UTS, Dr Annuar Rapaee.

Menurut Dr Annuar, jumlah biasiswa bagi setiap pelajar bergantung kepada yuran kursus mereka, 10 pelajar daripada kumpulan berpendapatan B40 akan menerima biasiswa daripada Yayasan Farley setahun.

“Sekiranya yurannya RM7,000 setahun untuk seorang pelajar, maka pelajar itu akan menerima biasiswa RM7,000 daripada Yayasan Farley.

“10 pelajar akan menerima biasiswa setiap tahun jadi menjelang akhir tahun keempat, jumlah penerima akan menjadi 40,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut di UTS pada Selasa.

Jelas Dr Annuar, pemeteraian MoU itu menandakan satu lagi kejayaan bagi kedua-dua pihak kerana pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan boleh mendapat bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Ini adalah kerjasama yang sangat penting. Adalah sangat mulia bagi Kumpulan Farley untuk membuat perkara ini.

“Pulangan daripada pendidikan adalah besar dan kita tidak boleh mengukurnya dengan dolar dan sen, terutama bagi keluarga miskin kerana ia boleh mengubah kehidupan mereka.” – EDISI UKAS

add comment