Cadangan Projek Pusat Sehenti Anjung Usahawan Diluluskan Dengan Peruntukan RM6 Juta

JUMAAT, 25 MAC 2022

DARO : Cadangan Projek Pusat Sehenti Anjung Usahawan telah diluluskan untuk Daerah Daro dengan peruntukan sebanyak RM6 juta.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad telah hadir bagi Lawatan Tapak Cadangan Projek Pusat Sehenti Anjung Usahawan Daro pada Khamis.

Lawatan tersebut bertujuan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industrian, Perindustrian Terminal dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) selaku agensi pelaksana menetapkan dan membincangkan cadangan-cadangan tapak bagi projek berkenaan.

Anjung Usahawan tersebut juga akan memberi impak kepada usahawan kecil memasarkan produk-produk mereka dengan lebih baik dan lebih selesa lagi.

Pada sebelah petang, Safiee telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Khas Sarawakku Sayang 6.0 (BKSS 6.0) Penjaja Kecil Daerah Daro dan Sesi Town Hall Sempena Kempen “Say No To Plastic Bag And Plastic Straw” serta taklimat pensijilan halal.

Seramai 136 penjaja layak menerima bantuan BKSS yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang lepas dengan masing-masing menerima bantuan berjumlah RM1,500.

Selain itu, satu taklimat berkenaan Prosedur Pensijilan Halal juga turut diadakan berikutan dengan kunjungan hormat pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kepada ADUN Daro.-EDISI UKAS

add comment