JUMAAT, 25 MAC 2022
MIRI: Bermula 1 April ini, permohonan untuk masuk ke Sarawak sudah tidak perlu mengisi Enter Sarawak serta E-Health Declaration Form (eHDF).
Sebaliknya, pengembara dari luar negara hanya menggunakan aplikasi MySejahtera selanjutnya perlu mengisi maklumat mereka pada icon Traveller dalam aplikasi tersebut.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Luar Bandar) Datu Ik Pahon Joyik berkata, di Miri penerbangan antarabangsa hanya melibatkan penerbangan dari Singapura ke Miri dengan dua penerbangan setiap minggu.
“Ketibaan pengembara dari luar negara yang akan tiba di Lapangan Terbang Miri adalah membabitkan penerbangan Scoot dari Singapura ke Miri iaitu pada setiap Rabu dan Sabtu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Persediaan dan Lawatan Ke Lapangan Terbang Miri (LTM) pada Khamis.
Datu Ik Pahon yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut melakukan lawatan ke Balai Ketibaan Lapangan Miri bersama Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf serta agensi berkaitan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri bagi meninjau keperluan serta kesiapsiagaan agensi terlibat di fasiliti tersebut.-EDISI UKAS