Idea Pindahkan Perpustakaan Komuniti Lutong Di Pusat Membeli Belah Inisiatif Galakan Kembali Budaya Membaca

JUMAAT, 25 MAC 2022

MIRI: Keputusan memindahkan Perpustakaan Komuniti Lutong ke MyyMall Lutong, Miri merupakan satu inisiatif dalam menggalakkan kembali budaya membaca. 

Menurut Datuk Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, pada zaman sekarang dengan penekanan yang tinggi terhadap teknologi digital, pembacaan buku sahaja di perpustakaan tidak lagi mampu menarik minat golongan muda.

“Bagi kebanyakan kita, kita memperoleh maklumat, berita dan hiburan melalui penggunaan komputer, telefon bimbit dan gajet lain. 

“Namun begitu, saya secara peribadi merasakan pembacaan buku atau bahan bercetak masih relevan kepada masyarakat kita selain daripada keseronokan membaca dalam dunia moden. 

“Oleh itu, kita harus terus menggalakkan membaca,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pra Perasmian Perpustakaan Komuniti Lutong di MyyMall Lutong, Miri pada Rabu. 

Perpustakaan Komuniti Lutong baru ini dapat menampung 50,000 buah buku, 5 kali ganda dari besar dari Perpustakaan Lutong yang lama.

Sementara itu Timbalan Datuk Bandar selaku Pengerusi Jawatankuasa Penubuhan Perpustakaan Komuniti Lutong, Majlis Bandaraya Miri Julaihi Mohamad memberitahu penempatan Perpustakaan Komuniti Lutong di MyyMall Lutong ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

“Kita amat berbangga kerana kalau kita melihat di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak ini, perpustakaan yang terletak di pusat membeli belah sepenuhnya, inilah perpustakaan yang pertama yang diwujudkan di dalam sesebuah pusat membeli belah,” katanya. 

Jelas beliau lagi, salah satu daripada agenda Majlis Bandaraya Miri (MBM) ialah pembangunan komuniti yang merupakan satu daripada agenda utamanya. 

Sebanyak empat buah perpustakaan di bawah selian MBM iaitu Perpustakaan di Dewan Suarah Miri, Perpustakaan Piasau Jaya, Perpustakaan Taman Tunku dan Perpustakaan Komuniti MCC Lutong.-EDISI UKAS

add comment