Kem Batalion 10 PGA Dipindahkan Ke Sarikei

JUMAAT, 25 MAC 2022

SIBU: Kem Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dipindahkan ke Jakar, Sarikei untuk menggantikan kem sedia ada di Sibu yang telah usang.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu, Superitenden Mohammad Hafiz Kadir, tender pembinaan kem baru itu telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan pembinaan dijangka mengambil masa selama tiga tahun.

“Jangka masa tempoh untuk menyiapkan kem tersebut lebih kurang tiga tahun. Paling tidak tahun 2025, ia dijangka beroperasi.

“Walaupun ada kem baru, kita akan masih menempatkan anggota di sini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 di Padang Kawat, Batalion 10 PGA Sibu pada Jumaat.

Menjelas lanjut, beliau berkata Batalion 10 PGA Sibu telah berjaya melakukan sembilan rampasan melibatkan minuman keras dan rokok yang tidak bercukai pada tahun ini sahaja.

Jelasnya, anggaran nilai rampasan berjumlah RM2.9 juta merangkumi minuman keras, rokok dan pembalakan haram.

Tambahnya lagi, Batalion PGA 10 akan melaksanakan operasi ‘OPS benteng COVID’ di Lubuk Antu, Sri Aman pada April depan sempena pembukaan pintu-pintu masuk negara di mana ICQ Lubuk Antu adalah di bawah tanggungjawab mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan akan berpindah ke Semenanjung dalam masa dua minggu setelah berkhidmat lebih setahun kem tersebut.

Seramai 170 anggota polis terlibat dalam perbarisan pada pagi dan ada yang masih dalam operasi di luar kawasan.

Dalam majlis sama, seramai 36 anggota menerima sijil penghargaan. – EDISI UKAS

add comment