JUMAAT, 25 MAC 2022
BETONG: Penganjuran kursus kemahiran jangka pendek merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan kemahiran masyarakat khususnya di kawasan luar bandar bagi membolehkan mereka meningkatkan sumber ekonomi.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak & Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam berkata dengan kemahiran yang dibekalkan melalui penganjuran kursus, penduduk kampung berpeluang menjadi individu yang berkemahiran tinggi sekali gus mempromosi kebolehan mereka di media sosial.
Tegasnya, masyarakat kini harus berfikiran terbuka iaitu tidak terlalu bergantung dengan kerajaan semata-mata dan hanya mengharapkan pekerjaan di sektor awam selepas menamatkan persekolahan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Kursus Kemahiran Jangka Pendek (JKJP) ‘Jom Cantik’ dan Kursus Asas Grafik anjuran Unit Pendidikan Kemahiran KEMAS P.204 Betong pada Jumaat.
Mohammad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berharap pihak KEMAS akan memperbanyakkan kursus jangka pendek sebegini dan akan terus bekerjasama dengan komuniti di Debak dan Betong bagi membantu penduduk di situ mendapat input kemahiran yang setaraf untuk mereka di bandar.
Beliau dalam pada itu berharap Pusat KEMAS Debak akan tetap diteruskan untuk menjadi ‘hub kecantikan’ di Sarawak, memandangkan pusat itu satu-satunya menyediakan kursus tersebut di bawah KEMAS di sini.
Seramai 30 peserta mengikuti kursus jangka pendek selama tiga hari anjuran KEMAS Bahagian Betong.
Sejurus selepas itu, Mohammad Razi berkesempatan memeriahkan Program Jalinan Kasih dan Sembang Santai Bersama Ranting PBB Kampung Hulu Tuie bertempat di Riveria Sport Centre Debak.
Program itu merupakan inisiatif ahli jawatankuasa PBB Ranting Hulu Tuie bertujuan menzahirkan rasa kesyukuran dan tahniah kepada Mohammad Razi di atas pelantikan beliau selaku Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak & Kesejahteraan Komuniti Sarawak.
Menurut Mohammad Razi, beliau menyifatkan pelantikan sebagai Timbalan Menteri sebagai satu amanah yang harus dipikul dengan memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Sarawak amnya. – EDISI UKAS