JUMAAT, 25 MAC 2022
MUKAH: Institusi Kepolisan Negara akan terus komited dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam negara, demikian tegas Ketua Polis Daerah (KPD) Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias.
Katanya, melangkah ke usia 215 tahun, beliau menyeru semua warga PDRM agar sama-sama memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan negara serta berikrar memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara terus terpelihara.
Berucap semasa Sambutan Memperingati Hari Polis Yang ke-215 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah pada Jumaat, beliau mengingatkan semua anggota untuk melaksanakan tugas secara profesional dan terus memperkasakan integriti demi mempertahankan keluhuran perlembagaan dan undang-undang.
Ujarnya, tema sambutan kali ini iaitu ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ menuntut seluruh warga PDRM untuk sentiasa sedia berkhidmat dan berdiri teguh di bawah naungan panji sang saka biru dalam memikul tanggungjawab dan amanah memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara.
Dalam majlis itu, seramai lima anggota dari Pesuruhjaya Polis Sarawak menerima sijil.
Manakala penerima sijil dari KPD Mukah terdiri daripada 15 warga IPD Mukah, 4 pengamal media termasuk Unit Komunikasi Awam Sarawak dan 3 orang awam.
Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Mukah, Safrie Saili dan Pemangku Pegawai Daerah Mukah, Paleadadzman Ahip. – EDISI UKAS