Sempadan Sarawak Akan Dibuka Kepada Pengunjung Luar Negara Bermula 1 April

JUMAAT, 25 MAC 2022

KUCHING: Bermula 1 April 2022, sempadan Sarawak akan kembali dibuka bagi pengunjung dari Semenanjung Malaysia mahupun luar negara.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dilonggarkan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) telah pun membuat persediaan menyambut kedatangan pelancong dari luar. 

“Bermula 1 April, penerbangan antarabangsa atau penumpang antarabangsa yang datang dari Singapura dan penerbangan domestik seperti Kuala Lumpur, Kota Kinabalu atau dari mana-mana negeri tidak perlu lagi SOP di sini.

“Tetapi bagi penumpang antarabangsa yang datang dari Singapura mereka mempunyai dua kategori, yang pertama ialah mereka yang duduk di Singapura dan warga Singapura datang ke Malaysia melalui Sarawak. Apa yang mereka harus lakukan ialah mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan mengisi ‘Borang Pra Berlepas’.

“Mereka tidak perlu lagi membuat ujian ketika tiba di Kuching dan mereka boleh terus melawat,” katanya dalam sidang media selepas melawat KIA pada Jumaat.

Manakala bagi penumpang domestik, pengembara tidak perlu memohon ‘Enter Sarawak’ dan mengisi Borang Pengisytiharan E-Health (eHDF) serta muat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang soal selidik yang berkaitan sudah memadai.

Tambah beliau lagi, bagi penumpang yang transit dari luar negara seperti London, Australia, Jerman, Jepun atau di mana sahaja mereka berada, kumpulan penumpang tersebut diwajibkan untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan mereka juga dikehendaki untuk membuat ujian pra-pelepasan kendiri dua hari sebelum berlepas.

“Apabila tiba di KIA atau Lapangan Terbang Miri, mereka akan dikehendaki membuat ujian pada masa ketibaan,” jelas beliau lagi.

Tambahnya lagi, bagi sempadan Brunei dan Indonesia sedang dalam perbincangan mengenai SOP yang dipersetujui untuk polisi pasca 1 April.

“Sementara menunggu keputusan SOP tersebut, SOP yang diguna pakai sekarang akan diteruskan.

“Kita berharap bahawa kedua-dua negara tersebut boleh membuat keputusan dengan cepat kerana matlamatnya adalah dengan pembukaan sempadan kita ini, kegiatan ekonomi perlahan-lahan akan kembali pulih dan ini juga sebahagian daripada peralihan kita kepada endemik,” katanya.

Justeru, beliau berharap dengan peralihan kepada endemik ini, rakyat akan perlahan-lahan kembali kehidupan seperti biasa dan sentiasa berjaga-jaga serta menjaga kesihatan masing-masing.

Pada 21 Mac lepas, Datuk Amar Douglas dalam kenyataannya memberitahu kemasukan pelancong dari luar negara adalah dibenarkan tanpa perlu memohon ‘My Travel Pass’ namun, perlu memuat turun dan mengisi ‘Borang Pra Berlepas’ melalui Ikon Pengembara di aplikasi MySejahtera.-EDISI UKAS

add comment