SMA Muncul Sebagai Juara Dalam Inovasi Ekonomi Digital 10+3 Di Wilayah Yunnan, China

JUMAAT, 25 MAC 2022

KUCHING: Sarawak Multimedia Authority (SMA) muncul sebagai pemenang Tempat Pertama dalam Pertandingan Anugerah Inovasi Ekonomi Digital 10+3 (ASEAN + China, Jepun dan Republik Korea Selatan) dengan penyertaan Sistem Operasi Bandar Pintar Sarawak.

Anugerah tersebut diserahkan oleh Pengurus Besar SMA, Ts. Dr Zaidi Razak kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi SMA, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bersama ahli-ahli mesyuarat SMA di Pejabat Premier Sarawak, Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Jumaat.

Difahamkan, anugerah tersebut telah disampaikan semasa Forum Inovasi Ekonomi Digital 10+3 2021 pada 8 Disember tahun lepas.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China bersama Jabatan Perindustrian dan Teknologi Maklumat Wilayah Yunnan melibatkan lebih 200 penyertaan dan 26 finalis dari negara ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan.

Penyertaan SMA dalam pertandingan tersebut diketuai oleh Ts. Tan Chee Kang bersama Ts. Dulcy Pani, John Wong dan Ts. Alexander Chu sebagai ahli pasukan utama yang lain.

Menurut Ts.Tan, penyertaan SMA meliputi inisiatif masa lalu, masa kini dan masa hadapan terutamanya yang berkaitan dengan Pelan Induk Bandar Pintar Kuching yang dilancarkan oleh Premier Sarawak pada 5 Oktober tahun lepas.

“Sistem Operasi Bandar Pintar Sarawak ialah model Sarawak untuk melaksanakan bandar pintar berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Ia akan menjadi ekosistem yang sangat komprehensif yang terdiri daripada komponen perkakasan, perkhidmatan kongsi, perkhidmatan pengguna akhir dan tadbir urusnya,” katanya.

Tambah beliau lagi, Pelan Induk Bandar Pintar Kuching telah dibangunkan dengan konsep sistem pengendalian komputer sebagai teras untuk menyelaraskan, menghubungkan dan mengharmonikan ekosistem bandar pintar di setiap bandar serta seluruh Sarawak.

“Ia adalah satu strategi untuk menggalakkan sinergi, kerjasama dan pemilikan perkhidmatan ke arah peningkatan masyarakat dan ekonomi untuk Sarawak,” tegasnya.

Selain itu, Tan menyatakan bahawa penyertaan dalam arena pertandingan sebegini adalah peluang besar untuk mempromosikan Sarawak kepada dunia luar khususnya kepada negara yang memperjuangkan pendigitalan.

“Kami mahu mempamerkan bagaimana Sarawak sememangnya bersedia untuk pendigitalan.

“Justeru, arena persaingan seperti ini membolehkan kami mempromosikan Sarawak untuk menarik pelaburan dan rakan kongsi digital untuk inovasi digital yang lebih hebat,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Zaidi berkata anugerah berprestij seperti itu akan memberikan jaminan besar terhadap pelbagai usaha yang dilakukan oleh Sarawak dalam memperkasakan pendigitalan dan ekonomi digital.

Tambah beliau, adalah penting untuk semua pihak memahami serta berkongsi semangat dan komitmen yang sama dalam mengambil bahagian secara aktif dalam pendigitalan dan perjalanan ekonomi digital Sarawak.

“Sarawak adalah antara yang pertama di Malaysia yang maju dengan inisiatif berkisar tentang pendigitalan dan ekonomi digital.

“Selain itu, kami mahu Sarawak turut hadir dalam arena global,” katanya.

add comment