Ahli PBB diingat kekal bersatu

SABTU, 26 MAC 2022

BETONG: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diingatkan agar terus bersatu untuk memperkasakan parti keramat itu.

Menurut Naib Presiden PBB, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, kestabilan parti terbesar di Sarawak itu membolehkan pemimpin negeri melindunginya dari golongan yang ingin menguasainya.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata pucuk pimpinan yang lepas telah berjuang mempertahankan dan memperkasakan parti PBB hingga muncul sebagai parti yang cukup kuat hari ini dan berupaya menjaga Sarawak dengan baik.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan N.36 Layar Sesi 2022-2025 di Dewan Masyarakat Spaoh pada Jumaat.

Tegas beliau, walaupun tugas untuk memperkuatkan dan memperkasakan parti adalah mudah namun untuk merosakkannya juga lebih mudah.

Justeru, beliau mengingatkan ahli parti untuk tidak sombong dan saling hormat menghormati di semua peringkat bermula dari akar umbi hingga ke pucuk pimpinan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar merangkap Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu mengekalkan jawatan Ketua Cawangan PBB N.36 Layar selepas menang tanpa bertanding.

Turut menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua Cawangan dan Naib Ketua Cawangan yang disandang Abang Ullie Abang Pay dan Abdul Rahim Jaini.

Pada sebelah pagi, Dato Gerald telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakkan Pemuda dan Perwakilan Pergerakan Wanita Parti PBB Cawangan N.36 Layar Sesi 2022-2025.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan semua ahli dalam PBB ibarat keluarga besar dengan mengamalkan nilai-nilai perpaduan.  

Katanya, perpaduan adalah nilai yang memberi kekuatan dan menjadi tunjang kekuatan PBB hingga membawa kepada kemenangan besar parti itu pada pilihanraya negeri yang lepas.

Ujarnya, mandat besar diperolehi PBB dan GPS itu memperlihatkan kehendak rakyat Sarawak yang ingin melihat pembangunan berterusan dan kesinambungan kepimpinan yang membawa kestabilan. 

Sementara itu, penyandang bagi empat jawatan iaitu Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N.36 Layar, Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Ketua Pergerakan Wanita dan Naib Ketua Pergerakan Wanita masih dikekalkan selepas menang tanpa bertanding.

Veriland Godon Gagat kekal menyandang Ketua Pergerakan Pemuda manakala Abang Shafardilla Abang Ullie selaku Naib Ketua.

Ketua Pergerakan Wanita dan Naib Ketua pula kekal disandang Umang Nangku Jabu dan Dayang Madinah Abang Yaman.

Hadir sama Timbalan Ketua Wanita PBB Sarawak, Datin Seri Angelina Ujang; Ketua Pemuda PBB Sarawak merangkap ADUN Serembu, Miro Simuh dan Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak, Romeo Christopher Tegong. – EDISI UKAS

add comment