Gardenscape 2022 Perkasakan Minat Belia Kepada Peniagaan Berasaskan Pertanian

SABTU, 26 MAC 2022

KUCHING: Gradenscape Sarawak 2022 mendapat sambutan yang menggalakkan dalam memperkasakan minat baru usahawan kepada sektor pertanian yang sekaligus menghasilkan produk makanan tempatan bagi merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Sarawak negeri pengeksport makanan bersih dan produk makanan menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Maclaine Ben @ Martin Ben berkata, pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang negatif kepada pelbagai sektor.

Ujar beliau lagi situasi ini turut menggalakkan masyarakat mengambil bahagian dengan hobi baru seperti bertani dan berkebun bagi mewujudkan kesedaran alam sekitar dan mengurangkan beban kewangan.

“Pandemik COVID-19 banyak memberikan kesan yang negatif kepada pelbagai sektor namun ianya turut menggalakkan orang ramai untuk mengambil hobi baru seperti bertani dan berkebun bagi mewujudkan kesedaran alam sekitar, mengurangkan beban kewangan dengan menanam makanan sendiri di samping membina taman komuniti yang boleh memberikan manfaat kepada seluruh kejiranan.

“Ini boleh menjadi permulaan kepada perniagaan berasaskan pertaniaan,” katanya ketika hadir menyempurnakan perasmian Gardenscape Sarawak 2022 di CityONE Megamall pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Sarawak juga turut menyediakan Sarawak Agro Fund (SAF) yang menawarkan geran dan pinjaman kepada petani baru untuk memulakan perniagaan.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukan sebanyak RM100 juta bagi memajukan dan memodenkan lagi sektor pertanian negeri.

“Kita juga menggalakkan generasi muda menceburi perniagaan perladangan dengan menggunakan teknologi moden.

“Ini akan menjadikan Sarawak sebagai pengeluar makanan berkualiti yang bukan hanya bergantung kepada makanan import sahaja tetapi juga menjadikan Kerajaan  Sarawak sebagai  pengeksport produk makanan bersih menjelang 2030 nanti,” jelasnya lagi.

Ekspo selama tiga hari itu bermula pada 25  hingga 27 Mac di CityONE Megamall itu menyajikan pelbagai program sampingan termasuk demonstrasi memasak dari Universiti UCSI, ceramah penanaman tanpa tanah dan demonstrasi oleh Toclan, Pertunjukkan Muay Thai, aktiviti mewarna bagi kanak-kanak dan cabutan bertuah.-EDISI UKAS

add comment