IPD Daerah Meradong Bakal Miliki Dewan Tertutup Baharu

SABTU, 26 MAC 2022

MERADONG: Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Meradong menerima hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Polis Ke-215 selepas kerajaan negeri meluluskan pembinaan dewan tertutup baharu untuk pejabat tersebut.

Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM250,000 itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing semasa meraikan Sambutan Hari Polis Ke-215 di Dataran Padang Kawad Kaki IPD Daerah Meradong pada Jumaat.

“Projk RTP untuk membina satu dewan serbaguna sedang dalam peringkat reka bentuk oleh pihak JKR.

“Kalau berjalan dengan lancar, mungkin dalam bulan April atau Mei kita dapat mulakan,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Menurut Datuk Ding, dengan adanya dewan tertutup berkenaan akan memudahkan anggota IPD Daerah Meradong menjalankan aktiviti mereka dengan lebih selesa.

Beliau dalam pada itu berharap jalinan kerjasama antara agensi kerajaan diteruskan pada masa akan datang untuk memajukan lagi Meradong dan memastikan daerah itu bebas dari gelaja yang tidak sihat.

Dalam majlis itu, Datuk Ding turut mengumumkan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Kelab IPD Daerah Meradong (RM5000), Perket Daerah Meradong (RM3000), Biro Kebajikan Islam IPD Daerah Meradong (RM3000), Biro Kebajikan Kristian IPD Daerah Meradong (RM3000) dan Bintangor Arm Wrestling Club (RM2000). – EDISI UKAS

add comment