Jejambat Simpang IKBN Permyjaya Miri Akan Dibuka 31 Mac Ini

SABTU, 26 MAC 2022

MIRI: Projek Jejambat Simpang Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Permyjaya Miri dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat dan akan dibuka kepada orang awam pada 31 Mac ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata setakat ini Jejambat Simpang IKBN, Permyjaya Miri sepanjang 605 meter kini dalam peringkat terakhir untuk pemeriksaan keselamatan dan pemasangan tanda keselamatan sebelum dibuka sepenuhnya kepada orang awam.

“Projek ini kini dalam peringkat terakhir dan perlu memenuhi syarat-syarat keselamatan jalan raya sebelum dibuka kepada orang awam. 

“Ini termasuk pemasangan tanda keselamatan serta memastikan aspek keselamatan yang optimis kepada pengguna jalan raya dapat dipatuhi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Projek Jejambat Simpang Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Permyjaya pada Jumaat. 

Pembinaan jejambat ini di bawah pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan membabitkan jalan raya berkembar dua hala dengan empat lorong.

Selain itu, Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin  turut mendedahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan memasang sebuah lagi lampu isyarat antara laluan menuju Vista Perdana. 

Ujarnya, pemasangan lampu isyarat itu bukan dalam jadual pembinaan, tetapi atas permintaan penduduk setempat setelah projek siap sepenuhnya yang akan  membantu melancarkan perjalanan trafik sekaligus mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas sekitar Vista Perdana, Southlake dan Desa Pujut Permyjaya terutama pada waktu puncak.

Hadir sama Pemangku ketua Projek Pan Borneo Highway Unit JKR Sarawak, Ir. Awang Mohamad Fadillah Awang Redzuan dan Pengurus JKR Sarawak Zon Utara Pan Borneo Highway Unit Siaw Ming Chian.-EDISI UKAS

add comment