SABTU, 26 MAC 2022
DARO: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting dalam pengurusan dan pentadbiran kampung.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, Negeri Sarawak mempunyai sistem pengurusan yang sangat efisien dalam menguruskan pentadbiran di setiap peringkat.
Berucap dalam Malam Apresiasi Pemimpin Santai Tapi Sampai Daerah Daro 2022 bertempat di Hotel Kingwood, Sibu pada Jumaat, beliau berkata sebagai pemimpin di peringkat daerah dan kampung, KMKK perlu sentiasa bersedia dalam memainkan peranan masing-masing.
Katanya, penganjuran program seperti itu bertujuan memperkasakan peranan KMKK agar dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini dengan sebaik mungkin.
Berucap lanjut, beliau berkata Klinik Pergigian Daro yang sebelum ini terdapat masalah kini sedang rancak dibangunkan manakala klinik kesihatan Daro kini berjalan lancar.
Tambah beliau, dengan siapnya Jambatan Batang Lassa kelak akan memudahkan hubungan antara Pulau Bruit dan Pekan Daro.
Hadir sama dalam program tersebut adalah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dan Pemangku Residen Bahagian Mukah, Safree Saili.
Terdahulu, Safree dalam ucapan aluannya berkata program julung kali diadakan di Bahagian Mukah itu telah dirancang sejak setahun lepas namun tergendala akibat pendemik Covid-19.
Katanya, sesi penyediaan profil kampung amat diperlukan dalam mentadbir kampung kerana mempunyai banyak maklumat berkenaan sesebuah kampung.
Tambah beliau, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga sangat penting dalam merancang pembangunan dan keselamatan dalam kampung.
Untuk itu, Kerajaan Negeri katanya telah melaksanakan pembayaran elaun kepada Setiausaha JKKK di setiap kampung.
Dalam majlis tersebut, Safiee, Ahmad Johnie dan If Yusuf masing-masing mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 seorang kepada Persatuan KMKK Daerah Daro. – EDISI UKAS