UNION Anjur Jelajah Integriti Di Seluruh Sarawak

SABTU, 26 MAC 2022

MATU: Dalam memartabatkan budaya integriti, Unit Integriti Dan Ombudsman (UNION) Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Matu telah menganjurkan Jelajah Integriti Siri 2/2022 Daerah Matu, bertemakan ‘Dari Sempadan Hingga Ke Desa’ bertempat di Dewan Masyarakat Pergau, Matu pada Jumaat.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, jelajah itu akan diadakan di seluruh Sarawak.

Katanya, program lebih menjurus kepada interaksi di antara pegawai-pegawai kerajaan, ketua-ketua masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk kontraktor-kontraktor terbabit yang melaksanakan projek-projek kerajaan di kawasan bagi memastikan semua pihak memahami pentingnya integriti.

“Bagi menjayakan hasrat YAB Premier Sarawak, program integriti yang kita jalankan pada tahun ini adalah bersifat jelajah ke semua pelusuk negeri.

“Kerana itu kita gunakan tema pada tahun ini ‘Dari Sempadan Hingga Ke Desa’,” katanya kepada media selepas merasmikan program itu.

Dr Juanda berkata program itu juga bertujuan memastikan rakyat tahu polisi dan dasar baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Jelasnya, pihak bawahan boleh memberi cadangan dan pihak atasan perlu mengambil berat apa sahaja cadangan pihak bawahan untuk mendidik kedua-dua pihak menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan mengamalkan pentadbiran yang telus.

Program itu dimulakan dengan Ceramah Integriti Dan sesi Randau dihadiri oleh 13 agensi dari Bahagian Mukah sebagai panel.

Pada sebelah petang, UNION dengan kerjasama Pejabat Daerah Matu dan Jabatan Hutan Sarawak menjayakan jelajah sama bertemakan ‘Integrity Go Nature’ bertempat di Tapak Kaul Igan, Matu.

Pengisian program adalah taklimat dari wakil UNION, Samsul Bojeng mengenai penanaman pokok ‘Gelam’ yang akan ditanam di tepi Jalan Tapak Kaul Igan.

Difahamkan sebanyak 100 pokok akan ditanam di sepanjang Jalan Kaul Igan untuk mengindahkan lagi jalan pantai itu nanti.

Jelajah tersebut diteruskan pada sebelah malam melalui penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam, dengan tajuk ‘Integriti Cerminan Mukmin Sejati’ bertempat di Masjid Daerah Matu.

Ia dianjurkan menerusi Kerjasama Lembaga Amanah Kemajuan Islam Matu dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Daerah Matu.

Moderator untuk forum tersebut ialah Imam Masjid Daerah, Ustaz Abdul Al-Hafiq manakala panel terdiri dari Pengarah UNION, Adana Jed, penceramah dari JAIS Mukah, Ustaz Mohd Khairi dan Ustaz Norzid dari SK Bruan Mapal Matu.

Menyusul selepas itu ceramah bertajuk ‘Digital Parenting’ yang disampaikan oleh oleh Ustaz Solhi Sharif dari UWAis Consulting & Counselling.

Intipati ceramah memfokuskan bagaimana ibu bapa menangani anak-anak menghadapi dunia digital dan mengawasi aktiviti mereka dari terjerumus dalam penyalahgunaan dan ketagihan melayari internet. – EDISI UKAS

add comment