Beri Sokongan Untuk Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari Terus Memimpin PBB

AHAD, 27 MAC 2022

SPAOH: Ahli-ahli parti harus memberi sokongan kepada Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk terus memimpin parti tersebut buat tahun-tahun akan datang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, Premier Sarawak itu telah membuktikan keupayaan beliau sebagai seorang pemimpin yang berkemampuan, bijak serta berwawasan.

“Salah satu pencapaian beliau adalah kejayaan memperoleh pendapatan tambahan untuk negeri ini melalui pengenaan cukai ke atas produk yang dihasilkan oleh Petronas.

“Sebagai Premier Sarawak, polisinya yang inklusif dalam menangani pelbagai isu pula ketara menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin untuk semua kaum,’’ ujarnya pada Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali Cawangan PBB Bukit Saban di sini pada Sabtu.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menjelaskan, semasa penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan seluruh negara, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah meringankan beban warga Sarawak dengan mengumumkan pelbagai pakej bantuan yang berkaitan.

“Kini, beliau memimpin negeri ini untuk terus mencapai pembangunan, kemajuan, serta kemakmuran melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030,” katanya lagi.

Manakala dalam bidang politik pula, Datuk Amar Douglas Uggah berpendapat bahawa Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu telah membuktikan kepimpinannya dengan mendapat keyakinan rakyat dalam memberikan sokongan kepada GPS untuk memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lepas.  

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Cawangan PBB Bukit Saban menyeru ahli-ahli dari kesemua 17 cawangan di bawah PBB supaya mengelakkan sebarang isu yang mampu menimbulkan konflik serta perpecahan dalam kalangan ahli.

“Ianya merupakan budaya PBB untuk ahli-ahlinya duduk bersama serta membincangkan penyelesaian bagi sebarang masalah atau rungutan dalam suasana yang baik dan tenang,’’ tegasnya.

Datuk Amar Douglas Uggah turut menasihati ahli-ahli PBB untuk terus mendekati pengundi baharu, khususnya golongan belia, dengan tujuan menggalakkan mereka untuk menyertai parti itu.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, ADUN Layar, Dato Gerald Rentap Jabu, serta ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam. -Edisi UKAS

add comment