AHAD, 27 MAC 2022
SIMUNJAN: Bersempena peringatan Hari Polis Ke-215 tahun 2022 yang diadakan secara serentak di seluruh negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan telah mengadakan perhimpunan dan Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis di Padang Kawad IPD Simunjan pada Jumaat.
Perhimpunan dan majlis itu diketuai oleh Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintenden Polis (DSP) Nixon Joshua Ali bersama-sama 10 Pegawai Kanan, 95 Pegawai Rendah Polis dan 18 Pegawai Awam.
Program yang dijalankan secara ringkas namun penuh bermakna itu turut diisi dengan amanat daripada Ketua Polis Negara yang telah disampaikan oleh DSP Nixon Joshua Ali untuk memperingati sambutan tersebut.
Selain itu, diselitkan juga acara Penyampaian Sijil Penghargaan Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Polis Daerah kepada Pegawai Kanan, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam atas sumbangan dan komitment yang telah ditunjukkan semasa menjalankan tugas.
IPD Simunjan turut menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan lagi sambutan berkenaan seperti kejohanan Bola Sepak Antara Jabatan Piala Ketua Polis Daerah Simunjan, Program Lawatan Kebajikan ke atas pesara Polis, aktiviti keagamaan seperti Majlis Tahlil, Solat Jumaat dan Church Parade, Program Derma Darah, dan juga pemeriksaan kesihatan bagi Pegawai yang berumur 40 tahun ke atas.
Sementara itu, pihak IPD Simunjan berharap dengan kerjasama erat yang sedia terjalin dengan masyarakat khasnya tetap utuh dalam bersama-sama memerangi dan membanteras jenayah serta mendaulatkan undangan-undang demi kemakmuran bersama.
Majlis yang telah berjalan lancar dengan pematuhan penuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).
Ianya turut dihadiri oleh ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan pesara-pesara Polis.-EDISI UKAS