Kemenangan GPS DUN Mulu dan Telang Usan Pada PRN-12 Di Luar Jangkaan

AHAD, 27 MAC 2022

MIRI: Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu dan Telang Usan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak lepas di luar jangkaan. 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Dato Gerawat Gala berkata, kemenangan ini adalah kemenangan kita semua. 

“Walaupun peratusan keseluruhan pengundi yang turun mengundi turun dari 62 peratus pada di PRN-11 kepada 58 peratus pada PRN-12 Sarawak kali ini disebabkan cabaran pandemik COVID-19 dan masalah pengangkutan, tetapi GPS DUN Mulu dan Telang Usan berjaya dapat kemenangan yang cukup memuaskan. 

“Di DUN Mulu majoritinya meningkat kepada 2,875 dari 1,750 pada 2016, manakala di DUN Telang Usan pula kita dapat majoriti berlipatganda dari 200 pada 2016 kepada 2,400 lebih pada PRN12 Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Aprisiasi Pemuda GPS Bersama Pemimpin di Piasau Boat Club Miri pada Sabtu. 

Tambah Dato Gerawat lagi, kemenangan GPS mempertahankan kerusi DUN Mulu dan Telang Usan serta memperoleh kemenangan besar dalam PRN-12 Sarawak membuktikan rakyat Sarawak yakin kepada kepimpinan pemimpin tempatan GPS. 

“Rakyat Sarawak percaya dan yakin GPS boleh menjaga dan mentadbir Sarawak dengan baik seperti mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), mewujudkan PETROS, CSA dan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum. 

“Rakyat Sarawak juga ingin kestabilan politik untuk kesinambungan pembangunan  dan keharmonian,” katanya. 

Turut sama hadir ADUN Telang Usan yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Dennis Ngau, Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Telang Usan Dominic Nyurang, Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Mulu Osart Bilong, Ketua Pemuda PDP Sarawak David Yeo, Ketua SUPP Telang Usan dan Ketua Pemuda PDP Baram Steven Avun. EDISI UKAS

add comment