KMKK Main Peranan Penting Dalam Membantu Kerajaan Menyampaikan Maklumat

AHAD, 27 MAC 2022

KANOWIT: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu terus memainkan peranan masing-masing dalam memperkasakan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana memberitahu, ini termasuk membantu kerajaan menyampaikan maklumat penting kepada peringkat akar umbi.

“Semua KMKK diseru agar memainkan peranan mereka dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar yang memberi faedah kepada rakyat,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Talang, Nanga Ensengai pada Sabtu.

Sementara itu, Anyi menegaskan bahawa perhatian akan terus diberikan mengenai isu-isu yang disuarakan oleh penduduk Rumah Talang, khasnya isu tapak rumah panjang baru yang telah bangkit sebelum ini.

“Tambahan juga, perjumpaan dengan Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah diadakan bagi membincangkan isu rangkaian telefon dan internet di kawasan Dewan Undangan Negeri Ngemah.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak SMA akan membina sembilan pencawang yang baru di DUN Ngemah,” jelasnya.

Sementara itu, Penghulu Benet Jentan dalam ucapannya turut menyeru semua KMKK di bawah bidang kuasa beliau agar bekerjasama rapat dengan wakil rakyat dan agensi kerajaan.

“Sentiasa beri sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak agar agenda pembangunan khususnya di kawasan luar bandar dapat diteruskan,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngemah, Kaunselor Cliff Unting; EXCO Wanita PRS Pusat merangkap Ketua Wanita PRS Ngemah, Kaunselor Mutang Karani serta Ketua Pemuda PRS Ngemah, Stenny Willis. -Edisi UKAS

add comment