AHAD, 27 MAC 2022
MIRI: Kempen Derma Darah seperti program tahunan Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) bertujuan mengisi Tabung Bank Darah Hospital Miri.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Seri Lee Kim Shin menyeru orang ramai memberi sokongan penuh kepada aktiviti-aktiviti derma darah ini untuk menambah bekalan darah di Hospital Miri.
“Saya berbesar hati kepada sukarelawan Miri yang sentiasa sudi dan komitmen untuk menderma darah tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Demikian juga kerjasama yang diberikan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Miri kerana aktif menganjurkan kempen derma darah.
“Hampir setiap minggu sepanjang tahun pelbagai pihak termasuk NGO, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta menganjur kempen derma darah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan
Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) Miri di Borneo Medical Centre (BMC) Miri pada Sabtu.
NAMLIFA mensasarkan 100 ‘pain’ darah untuk dikumpulkan daripada penderma pada program kali ini.
Dato Sri Lee yang juga Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri memberitahu sebahagian bekalan darah yang didermakan ini akan diagihkan untuk keperluan masyarakat di kawasan luar bandar seperti Marudi, Limbang dan Lawas.
Hadir sama Pengerusi NAMLIFA Miri Alice Voon, Pengerusi Pengelola Kempen Derma Darah Muhammad Firdaus Asha’ari dan Pengarah Perubatan BMC Miri Dr Kenny Yeap. -EDISI UKAS