Lawatan Ke Tapak Projek Naik Taraf di Daerah Pantu Berjalan Lancar

AHAD, 27 MAC 2022

PANTU: Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd. Ashree Wee bersama rombongan daripada Pegawai Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Tanah dan Survei telah mengadakan lawatan bagi meninjau status pembinaan naiktaraf jalan Kampung Muding ke Kampung Tuba pada Khamis.

Rombongan turut melawat ke tapak yang bakal dijadikan tempat daya tarikan pelancong iaitu sebuah air terjun di Kampung Tuba yang dikenali sebagai Wong Radak.

Lawatan yang diadakan itu adalah bagi memastikan perancangan transformasi sosio-ekonomi 2021 hingga 2030 bagi Sektor Ekonomi Bukan Pertanian di bawah Projek Sri Aman Development Authority (SADA) berjalan dengan lancar.

Selain itu, lawatan itu juga adalah sebagai langkah awal sejajar dengan pengiktirafan Pantu sebagai daerah penuh.

Berdasarkan perancangan, pentadbiran bagi 17 kampung di bawah pentadbiran Simunjan dan Sebuyau akan diambil alih oleh Daerah Pantu.

Di bawah perancangan yang sama, projek jaringan jalan raya yang baik atau jalan kampung akan dibina di samping menaiktaraf jalan alternatif yang sedia ada di kawasan itu.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Tadbir menguasai Pejabat Daerah Pantu, Royston Francis, Pembantu Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Kiew Siaw Hiong, Jurutera Awam, Augustine Rudu Francis Dampa, dan Penolong Juruukur, Ignatus Isaac Britin.-EDISI UKAS

add comment