AHAD, 27 MAC 2022
KUCHING: Vistage merupakan lembaga penasihat swasta bagi membantu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemilik perniagaan untuk membuat keputusan yang lebih baik sekali gus memanfaatkan syarikat, keluarga dan komuniti.
Pengerusi Vistage, Stanley Liew menjelaskan, beliau teruja untuk bekerjasama dengan pelbagai kumpulan CEO, pengurus besar termasuk pemilik perniagaan di Sarawak untuk membimbing mereka dalam mencapai pertumbuhan pesat dalam perniagaan dan mempertingkatkan kualiti sebagai pemimpin.
Jelasnya, Vistage sedang dalam proses untuk mengambil ahli baharu bagi menyertai pihaknya untuk membincangkan isu perniagaan, berkongsi kepakaran dan memberikan bantuan sekaligus mencapai matlamat mengoptimumkan kejayaan perniagaan.
Mengulas lanjut pada sidang media yang diadakan di Hotel Pullman Kuching pada Sabtu, Stanley berkata, Vistage berperanan untuk memperhalusi kebolehan, memperbaiki penilaian, mengembangkan perspektif dan mengoptimumkan keputusan para CEO di dalam sesebuah perniagaan.
“Vistage ialah sebuah organisasi untuk para CEO, pemilik perniagaan dan juga ketua eksekutif didalam sebuah syarikat, Jadi, kami amat berbesar hati membuka keahlian kepada mereka, sudah tentu melalui jemputan dalam pada masa yang sama mengajak mereka untuk menyertai vistage.
“Pelbagai program bantuan untuk membimbing mereka membuat keputusan yang lebih baik, menjadi pemimpin yang lebih baik bagi mencapai keputusan yang lebih baik sebagai seorang pemimpin,” kata beliau.