AHAD, 27 MAC 2022
SIBU: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MOU) sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mewujudkan satu entiti bekalan air di negeri ini.
Menterinya, Datuk Julaihi Narawi menjelaskan, perkara tersebut dilakukan dengan mengintegrasikan empat pihak berkuasa bekalan air yang sedia ada iaitu Lembaga Air Sibu, Lembaga Air Kuching, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, dan LAKU Management Sdn Bhd.
“Sedia maklum, kesemua agensi ini mempunyai model operasi tersendiri. Namun, integrasi yang dicadangkan adalah penting untuk memiliki sistem bekalan air yang cekap dan berkesan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat Sarawak,’’ katanya pada Majlis Jamuan Tahunan Lembaga Air Sibu (LAS) 2022 & Pelancaran Anti Rasuah Organisasi LAS di Hotel Tanahmas pada Sabtu.
Tambahan juga, beliau memberitahu, pihak kementerian turut meneliti cadangan untuk menubuhkan entiti Pihak Berkuasa Air Negeri (SWA) itu sebagai satu badan korporat.
“Ianya mampu mewujudkan satu organisasi yang sesuai dan berdedikasi untuk membantu eksekutif fungsi kawal selia dengan lebih cekap dan berkesan,’’ ujar beliau lagi.
Sementara itu, Datuk Julaihi berkata, MOU bersama dengan empat agensi bekalan air terbabit telah merangka strategi dan mencadangkan projek-projek untuk mencapai visi 100 peratus liputan utiliti di Sarawak pada tahun 2025.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, pihak Kementerian telah mengemukakan cadangan pelaksanaan grid bekalan air yang akan menghubungkan sistem bekalan air dari selatan ke utara bagi menjamin sistem bekalan air yang lebih dipercayai dan berdaya tahan untuk Sarawak.
“Setakat ini, sebanyak RM8.48 bilion telah diperuntukkan untuk menjalankan 581 projek termasuk Projek Rakyat,” tambah beliau.

Pada majlis tersebut, Datuk Julaihi turut melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) LAS yang memperlihatkan lima bidang keutamaan iaitu perolehan, pengurusan projek, sumber manusia dan tadbir urus, pengurusan kewangan, dan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berpendapat bahawa OACP tersebut mampu menambahbaik dan mengukuhkan prestasi dan keberkesanaan LAS ke tahap yang lebih baik seiring dengan perubahan masa.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling dan Pengurus Besar Lembaga Air Sibu, Abdul Malik Abdullah @ Itin Langit. – Edisi UKAS