AHAD, 27 MAC 2022
KUCHING : Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Sarawak akan menetapkan beberapa halatuju bagi seluruh cawangan PERKIM Sarawak.
Pengerusi PERKIM Bahagian Sarawak, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, inisiatif itu dilaksanakan atas beberapa faktor.
“Perlunya penilaian semula tentang status pencapaian kita sejak 34 tahun yang lalu, kemajuan yang telah kita lalui dari pelbagai aspek, isu dan cabaran serta hasrat atau azam untuk menambah baik dan meningkatkan peranan serta penampilan PERKIM di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya.
“Selain itu, ianya bagi mencipta kelainan atau ‘niche’ untuk membezakan imej PERKIM dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam lain yang semakin bertambah malah ada yang lebih agresif,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-34 PERKIM Bahagaian Sawarak di Hotel Waterfront pada Ahad.
Tambah beliau lagi, PERKIM Bahagian Sarawak juga akan meningkatkan kapasiti dari segi pengurusan dan perlaksanaan program supaya dapat menjalankan aktiviti dan program dengan leboh cekap dan berkesan.
Dalam pada itu, jelasnya lagi, perancangan hala tuju PERKIM telah bermula beberapa bulan yang lalu dan bengkel pertama telah diadakan sebulan yang lalu dengan mengadakan sesi perkongsian bersama veteran PERKIM mengenai sejarah penubuhan PERKIM di Malaysia dan Sarawak.
Tambahnya, PERKIM Kebangsaan juga telah memulakan inisiatif bagi menetap semula hala tuju untuk kekal relevan sesuai dengan dengan keupayaan serta perubahan besar landskap dunia pengurusan dakwah akibat pandemik COVID-19.
Justeru, Dato Hanifah menyeru agar PERKIM Sarawak dapat bergerak dengan lebih aktif serta lebih kreatif dalam menjalankan aktiviti supaya dapat menarik penyertaan ahli-ahli terutamanya golongan muda dan remaja.
Difahamkan, ini merupakan Mesyuarat Agung pertama yang diadakan secara bersemuka setelah dua tahun secara hybrid dan telah dihadiri seramai 104 perwakilan dari 21 cawangan PERKIM seluruh Sarawak.-EDISI UKAS