AHAD, 27 MAC 2022
LUNDU: Pesawah di kawasan Sibaukng, Kampung Tebaro bakal menikmati kemudahan infrastruktur pertanian bagi memantapkan lagi sektor pertanian di Sarawak.
Ianya dikatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang semasa beliau hadir ke Program Jom Menuai Anjuran Jawatankuasa Pengurusan Kampung Tebaro-Jampari pada Jumaat.
Selain itu, beliau menjelaskan, hasil lawatan teknikal dan pemeriksaan di sawah tersebut pada 16 Mac lalu mendapati ianya turut berpotensi menjadi sebuah ladang sawah yang sistematik dan teratur seperti di Skim DID Tanjung Purun.
Tambahnya, kawasan sawah itu yang melibatkan petani daripada enam buah kampung sekitar amat memerlukan akses jalan raya dan sistem saliran air yang lebih sistematik untuk kemudahan para petani.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi jawatankuasa Pengurusan Kampung Tebaro-Jampari, Niponi Undek menggesa para petani di sawah ini untuk berganding bahu bagi memastikan perancangan untuk melaksanakan projek pembangunan di kawasan ini berjalan dengan lancar.
Ujarnya lagi, dengan adanya pembangunan di kawasan pertanian ini, ia mampu memastikan kawalan keselamatan makanan atau ‘Food Security’di Sarawak akan lebih terjamin.
Turut sama hadir ke program Jom Menuai ini adalah Ketua Kaum Kampung Jampari, Suez Mahadi, dan Ketua Kaum Kampung Serayan Hulu, Daman Kirem.-EDISI UKAS