AHAD, 27 MAC 2022
TATAU: Program Sahabat Komuniti Desa sangat penting kepada masyarakat di luar bandar terutamanya di kampung atau di rumah panjang.
Menurut wakil Pegawai Daerah Tatau SAO Long Jok, melalui program ini penduduk dapat meningkatkan semangat kesukarelawan, keharmonian dan kerjasama di antara penduduk.
“Justeru, penduduk disarankan bergiat aktif menerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan melaksanakan aktiviti di peringkat kampung,” katanya semasa berucap merasmikan penutupan Program Sahabat Komuniti Desa (SCOD) di Dewan Masyarakat Kampung Dagang, Tatau pada Khamis.
Sementara itu, pegawai KEMAS Daerah Selangau Dayangku Syariani Awang Jubaidi memberitahu Sahabat Komuniti Desa ini merupakan sebuah jawatankuasa sukarelawan.
“Ianya diadakan di setiap kampung dalam membantu penganjuran program kemasyarakatan di peringkat kampung,” katanya.
Seramai 40 orang peserta telah mengikuti program Sahabat Komuniti Desa di Kampung Dagang ini. -EDISI UKAS