AHAD, 27 MAC 2022
KUCHING: Sarawak di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg antara negeri yang mempunyai projek paling banyak di Malaysia.
Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir. Aidel Lariwoo berkata jumlah itu sama ada dari segi bilangan projek mahupun dari bilangan peruntukan atau nilainya termasuk dari kawasan Sadong Jaya, Simunjan serta Gedong.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tiga Tahun Sekali N25 Simunjan Penggal 2022 – 2025 bertempat di Penview Hotel Kuching pada Jumaat.
Jelasnya lagi, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan, kni memegang dua kawasan tebing Batang Sadong meliputi Temiang hingga ke Selangking dan satu lagi daripada Sebuyai Ensengei hingga ke Rangkang.
Ujar beliau, apa yang berlaku di Daerah Simunjan kini adalah idea ADUN Simunjan, Awla Dris dan semua ketua-ketua ranting PBB termasuk juga Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Simunjan yang telah memainkan peranan begitu besar dalam membangunkan kawasan tersebut.
Sementara itu, Awla berkata sambutan diberikan terhadap pemilihan baharu kali ini yang diadakan pada Sabtu amat menggalakkan menyaksikan banyak pertandingan.
Jelasnya lagi, ahli PBB yang bertanding haruslah bersemangat untuk memperkasakan parti dengan kerjasama dan mengutamakan perpaduan dalam parti untuk kemakmuran bersama.
Ujarnya lagi, jawatankuasa yang baharu haruslah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa dengan kepimpinan pasukan yang kuat bagi mempertahan parti PBB untuk menerajui Negeri Sarawak.
Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie; Timbalan Setiausaha Eksekutif Parti PBB Negeri Sarawak, Roslan Othman; Timbalan Ketua Cawangan N25 Simunjan, Bojeng Ali; Ketua Pergerakan Wanita Cawangan Simunjan, Kaunselor Rosita Poni dan Ketua Pergerakan Pemuda Cawangan Simunjan, Mohamad Alsagap Mohd Japar. – EDISI UKAS