ISNIN, 28 MAC 2022
BETONG: Seramai 49 berjaya menamatkan Ulu Layar Adventure Challenge Run yang berlangsung pada malam Sabtu bertempat di Perkarangan RTC Betong, Simpang Layar, Betong.
Ia anjuran SABERKAS Cawangan Layar dengan kerjasama Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Bahagian Betong dan Sibu Road Runners.
Larian sejauh 42 kilometer nyata bukan mudah apabila pelumba perlu mengharungi Jalan Ulu Layar yang berbukit-bukau di mana garisan penamat adalah di rumah panjang Melabu Bair, Ulu Layar, Betong.
Perlumbaan dilepaskan pada jam 8.30 malam dan majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Layar, Dato Gerald Rentap Jabu pada pagi Ahad.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau amat berbesar hari kerana larian itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dari Betong malah dari Kuching, Sibu dan Miri.
Katanya, perlumbaan itu juga mendapat sokongan kementerian di bawah payung program Sarawak X-tive bagi membentuk masyarakat yang cergas.
Senarai 10 peserta terpantas perlumbaan itu adalah Aaron Amit (4 jam 18 minit), Si Yong Tong (4 jam 35 minit), Sia Yee Fong (4 jam 40 minit), Larry Mergie (4 jam 45 minit), Simon Kong (4 jam 55 minit), Celesta Teo (4 jam 50 minit), Felix Enteri (5 jam 01 minit), Marvin Mege (5 jam 04 minit), Herman (5 jam 08 minit) dan Ong Sui Hsuing (5 jam 29 minit).
Sementara itu, pada sebelah petang, Dato Gerald telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Sepak Takraw sempena ‘Ulu Layar Adventure Challenge Run’.
Kejohanan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Melabu Bair itu disertai sebanyak 10 pasukan.
Berakhir saingan, pasukan Penebak Warrior A telah dinobatkan johan selepas menewaskan Sadok Hunter.
Manakala tempat ketiga dan keempat disandang Sadok Fighter dan BLTC A. – EDISI UKAS