ADUN Batu Kitang Rasmi Program Sambutan Hari Air Sedunia

ISNIN, 28 MAC 2022

KUCHING: Program Sambutan Hari Air Sedunia peringkat Sarawak bertemakan “Croundwater: Making The Invisible Viseble” telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang, Lo Khere Chiang di Dewan Serbaguna Kampung Sinar Budi Lama pada Sabtu.

Menurut Khere Chiang, program yang disambut pada 22 Mac itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak tahun 1993 dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai isu-isu air.

Katanya, ia juga bertujuan memenuhi sasaran matlamat pembangunan mampan yang dilancarkan pada 2015 bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih pada tahun 2030.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Padawan memberitahu, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan sumber air mencukupi dan selamat untuk diminum.

Di samping itu, ia juga bagi memastikan bekalan air diterima oleh pelbagai sektor pengguna dari segi domestik, industri, pertanian, perternakan dan perikanan.

Majlis tersebut telah dirasmikan secara simbolik dengan melepaskan 10,000 ekor anak Ikan Lampam Jawa, sumbangan Jabatan Pertanian Bahagian Kuching ke sungai.-EDISI UKAS

add comment