Kampung-Kampung Di Daerah Lawas Masih Memerlukan Pembangunan

ISNIN, 28 MAC 2022

LAWAS: Kampung-kampung di daerah Lawas masih memerlukan pembangunan infrastruktur sejajar dengan keperluan dan perkembangan semasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Henry Sum Agong berkata, misalnya Kampung Punang ini masih memerlukan keperluan berkaitan pembangunan.

“Sehubungan itu, saya meminta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Zon Punang termasuk agensi-agensi kerajaan lain untuk menyampaikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat di kampung ini.

“Pada masa sama, kerajaan juga komited memberikan perlindungan kesihatan kepada masyarakat semasa pandemik COVID-19 seperti vaksinasi, bantuan kewangan dan sebagainya,” katanya semasa berucap dalam Majlis Gotong-Royong Membersihkan Pantai Punang dan Masjid Kampung Punang di Kampung Punang pada Sabtu.

Mengulas mengenai program ini, Dato’ Henry menghargai jemputan ini dan menyifatkan penglibatan angota RELA merupakan tanggungjawab dalam masyarakat.

Seramai 70 orang anggota RELA menyertai program ini.

“Sudah semestinya tanggungjawab anggota RELA adalah berbagai dan salah satu tanggungjawab agensi ini ialah termasuk membantu dalam menjaga kebersihan seperti aktiviti gotong-royong ini,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RMN20,000 untuk RELA Zon Punang dan RM50,000 lagi bagi projek penambahbaikan pentas di Dewan Kampung Punang.

Hadir sama Setiausaha Sulit Kanan Mohd. Noor Affendy, Pengusaha Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Lawas Mohd. Fazly Salleh dan Penghulu Omarali. -EDISI UKAS

add comment