Kejohanan E-sports Batang Sadong 2022 Gedong Qualifier Dapat Sambutan Menggalakan

ISNIN, 28 MAC 2022

BATANG SADONG: Kejohanan Sukan Elektronik (E-sports) P200 Batang Sadong 2022 Gedong Qualifier yang julung kalinya diadakan di Dewan Masyarakat Gedong mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri, turut berkesempatan meninjau keadaan di situ pada Sabtu.

Kejohanan yang melibatkan tiga kawasan di bawah Batang Sadong iaitu Gedong, Simunjan dan Sadong Jaya dibuka kepada semua lapisan masyarakat dan tiada had umur.

Ianya berlangsung selama dua hari bermula pada 26 Mac 2022 sehingga 27 Mac 2022.

Tiga kategori sukan elektronik telah dipertandingkan iaitu PUBG Mobile, Mobile Legend Bang- Bang (MLBB), dan PES 21 (PS4).

Untuk makluman, peringkat akhir sukan elektronik (E-sports) tersebut akan diadakan di Sadong Jaya pada bulan Jun nanti.

Turut hadir bersama, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Dato Sri Nancy Shukri, Awang Safri Awang Ahmad, Ketua Pemuda PBB Cawangan Gedong, dan juga ketua-ketua masyarakat di sekitar kawasan Gedong.-EDISI UKAS

add comment