Kekal, Pulihara Keunikan Tradisi Kaul Serahang Kakan

ISNIN, 28 MAC 2022

MUKAH: Tradisi Kaul Serahang Kakan, upacara ritual unik kaum Melananu kembali diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan susulan penularan wabak Covid-19.

Walaupun tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya, upacara ritual itu tetap dilaksanakan penuh tradisi bertempat di Tapak Pesta Kaul, Mukah pada Ahad.

Menurut Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, selain mengekalkan tradisi kaum Melanau, pelaksanaan ritual lama itu juga menjadi titik pertemuan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini yang mahu menyaksikan keunikan upacara tersebut.

“Bila kita nak laksanakan perancangan itu, kita dah mula pada awal tahun ini. Namun kita tidak pasti, masih ikut SOP atau tidak kerana kita melihat keadaan. Jadi kita laksanakan yg wajib sahaja dulu.

“Kaul Kakan adalah pertemuan masyarakat. Ia adalah satu tradisi yang dah lama, kita dah laksanakan sejak dari dulu. Kemungkinan sebelum wujudnya agama-agama lain dan pergaulan masyarakat lain yang datang di sini,” katanya kepada media semasa menghadiri upacara itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu menambah, pihaknya sentiasa memberikan sokongan untuk memastikan adat dalam masyarakat itu dikekalkan dan dilaksanakan secara harmoni.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine memberitahu tradisi tersebut perlu dipelihara untuk memartabat dan mengetengahkan kekayaan budaya dan adat masyarakat di negeri ini.

“Sekarang kita hanya laksanakan acara tradisi sahaja, kerana kita harus mengekalkan adat budaya kita. Itu yang paling penting. Kita perlu memelihara dan memartabatkan budaya kita.

“Tanpa usaha seperti ini, ianya mungkin akan pupus dan hilang dan ianya tidak ada menjadi tatapan ataupun rujukan generasi muda sekarang dan masa hadapan,” katanya.

Aktiviti Kaul dahulunya upacara perayaan dan kesyukuran bagi kaum Melanau untuk menenangkan roh-roh laut, tanah, hutan dan ladang yang dikenali sebagai Ipok terutama musim tengkujuh ketika ikan sukar diperoleh, petani tidak dapat turun ke sawah atau hutan.

Mengikut kepercayaan, nelayan dapat menangkap ikan semula, sementara petani dan pekebun dapat turun ke sawah dan hutan tanpa gangguan cuaca buruk selepas aktiviti Kaul dijalankan.

Kaul juga diadakan untuk melindungi dan menyelamatkan dunia daripada serangan penyakit yang mengancam nyawa penduduk. – EDISI UKAS

add comment