ISNIN, 28 MAC 2022
SIBU: Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di seluruh negeri perlu menjaga kebajikan setiap ahli di kawasan masing-masing.
Menurut Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keperluan itu amat dikehendaki lebih-lebih lagi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bukan milik mereka.
“Di kawasan pilihan raya seperti itu, anda sebagai pengerusi cawangan akan mengambil alih peranan sebagai wakil rakyat.
“Kita mahu ahli-ahli dijaga dengan baik supaya PBB terus kuat dan ahlinya sentiasa bertambah,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan tiga tahun sekali PBB Cawangan Bawang Assan dan Tamin di Kingwood Hotel Sibu pada Ahad.
Datuk Amar Douglas yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, parti itu kini menguasai sebanyak 47 kerusi daripada 82 Dun.
“Jika ahli anda menghadapi masalah, biarlah wakil rakyat kawasan dimaklumkan terlebih dahulu. Kemudian berkomunikasi dengan pemimpin tertinggi parti (PBB) juga. Kami akan mencari jalan untuk membantu,” katanya.
Mengenai mesyuarat perwakilan itu, Datuk Amar Douglas berkata, ia bukan soal memilih atau melantik semula ketua cawangan dan ahli jawatankuasa semata-mata.
“Kami di peringkat atasan parti juga begitu berminat untuk mengetahui aspirasi dan rungutan yang dihadapi di peringkat akar umbi.
“Maklum balas ini adalah daripada resolusi yang dibuat yang akan dibentangkan pada persidangan/perhimpunan utama parti pada Jun tahun ini,” tegasnya.
Pada majlis itu, Datuk Amar Douglas meluluskan penubuhan pusat khidmat PBB di DUN Tamin.
Beliau berkata, ini bagi memberi khidmat yang lebih baik kepada ahli di kawasan itu yang merupakan kawasan kerusi bukan PBB.
Datuk Amar Douglas turut menyeru ketua-ketua cawangan supaya terus menghubungi pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing yang kontrak perkhidmatannya akan tamat tidak lama lagi.
“Maklumkan kami lebih awal dan sama ada mereka perlu dilantik semula atau pemimpin baharu dilantik,” ujarnya.
Beliau berkata, ini termasuk yang berada di kawasan pilihan raya di bawah perwakilan parti komponen GPS yang lain.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaannya kepada ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee yang menurutnya telah melakukan usaha yang sangat baik sebagai Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS).
Sementara itu, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Romeo Christopher Tegong kekal sebagai Pengerusi PBB Cawangan Bawang Assan setelah menang tanpa bertanding dalam jawatan tersebut.
Manakala Meiw Beruang dipilih sebagai pengerusi baharu bagi PBB Cawangan Tamin.
Terdahulu dalam resolusi mereka, Romeo dan bekas Pengerusi PBB Cawangan Tamin, Garai Entili mencadangkan supaya Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kekal sebagai presiden untuk tidak mempertandingkan jawatan tersebut dalam Persidangan Mesyuarat PBB pada Jun depan. – EDISI UKAS