ISNIN, 28 MAC 2022
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menyasarkan 1.2 juta pelancong datang ke Sarawak selepas pembukaan semula sempadan Negara kelak.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membuat keputusan untuk membuka semula sempadan Negara pada 1 April ini.
Tambahnya, ia adalah satu keputusan yang dinantikan agar dapat merancakkan kembali industri pelancongan kerana usaha untuk membuat sekatan pergerakan tidak boleh dilakukan selamanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Meow City Bundle Fest 01 di pekarangan Mydin Samariang pada Ahad.
Sementara itu, bercakap mengenai Meow City Bundle Fest, beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyokong penuh golongan muda mengadakan program seperti itu.
Tambah beliau, Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak komited membantu golongan muda yang berkecimpung dalam perniagaan di negeri ini.-EDISI UKAS