ISNIN, 28 MAC 2022
SEBUYAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Sri Aman telah menganjurkan Program Jualan Keluarga Malaysia yang berlangsung selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad lepas bertempat di Dewan Pembangunan Sebuyau.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui KPDNHEP bagi membantu penduduk-penduduk di sekitar kawasan itu membeli barang keperluan asas dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Ia turut mendapat kerjasama pelbagai agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Cawangan Sebuyau, Persatuan Nelayan Sebuyau dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Difahamkan, sepanjang program berlangsung, pengunjung yang datang hanya dihadkan seramai 10 orang sahaja untuk masuk membeli barang jualan yang ditawarkan dalam satu satu masa bermula jam 9 pagi sehingga 1 petang.
Secara keseluruhan, program berjalan dengan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.-EDISI UKAS