ISNIN, 28 MAC 2022
SRI AMAN: Projek naik taraf Jalan Kampung iaitu Kampung Muding ke Kampung Tuba bakal memberi manfaat kepada penduduk di situ.
Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee bersama rombongannya yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah melawat tapak tersebut baru-baru ini untuk meninjau sendiri perkembangan projek.
Dalam pada masa yang sama, beliau juga melawat air terjun di Kampung Tuba yang dikenali sebagai Wong Radak yang bakal dijadikan tempat daya tarikan pelancong.
Lawatan tersebut bertujuan sebagai langkah awal sejajar dengan Pantu yang telah dijadikan sebagai daerah penuh.
Mengikut perancangan, sebanyak 17 kampung di bawah pentadbiran Simunjan dan Sebuyau akan diambil alih pentadbirannya oleh daerah Pantu yang merancang untuk membina jaringan jalan raya yang baik.
Ini juga selaras dengan rancangan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dalam mentranformasikan sosio ekonomi 2021 hingga 2030 untuk memberi kemudahan bukan sahaja penduduk malah pengunjung yang datang.-EDISI UKAS