Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Malam Di DUN Sarawak

ISNIN, 28 MAC 2022

KUCHING: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin bersempena lawatan kerja baginda selama dua hari di sini.

Majlis juga dihadiri isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 Dan Perhubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti I (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak), Rosey Yunus serta tetamu kenamaan yang lain.

Pelbagai persembahan disajikan seperti tarian tradisional suku kaum di Sarawak, teater musikal, nyanyian serta alunan muzik tradisional dan moden.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong telah merasmikan Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid sambil melihat sendiri hasil kerja tangan serta keunikan songket dan keringkam yang dihasilkan oleh penenun tempatan.

Pada Selasa, Raja Permaisuri Agong dijadual melawat Kompleks Penjara Puncak Borneo pada jam 10.30 pagi.

Manakala pada sebelah petang, baginda dijadual melawat Muzium Budaya Borneo.-EDISI UKAS

add comment