ISNIN, 28 MAC 2022
KUCHING: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat dan merasmikan Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid di sini pada Isnin.
Hadir sama mengiringi rombongan baginda adalah isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) merangkap Pengerusi Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Datu Dr. Sabariah Putit.
Sementara itu, semasa berucap dalam majlis tersebut, Datu Dr. Sabariah memberitahu, Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak yang diterajui oleh OKSHE dapat membangunkan ekosistem yang bersepadu dan lestari.
Menurutnya, selain itu ianya juga meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat dan menjana peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan pada masa yang sama melindungi, memelihara dan memulihara produk warisan yang bernilai ini.
“Ekosistem ini merangkumi pelbagai aspek, antaranya melahirkan lebih ramai bakat penenun dan penyulam di Sarawak melalui Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), menambah penghasilan produk warisan premium dan juga produk inovasi melalui Centexs Commercial, menghubungkan dan mengukuhkan jaringan Supply Chain di antara komuniti tempatan dan pengeluar antarabangsa seperti benang.
“Selain itu, ia dapat membangunkan bakat kemahiran seperti kemahiran pembungkusan dan pelabelan, kemahiran digital melalui usahasam pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), meluaskan promosi dan visibiliti seperti penganjuran program, perrtunjukan fesyen dan meningkatkan kajian dan pembangunan dengan pihak institusi dan industri dalam kelestarian tekstil dan pereka fesyen terkemuka,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Datu Sabariah lagi, setakat ini, Sarawak mempunyai seramai 366 yang terdiri daripada 120 orang penenun songket dan 246 penyulam keringkam di sekitar Sarawak.
“Daripada 120 penenun songket, mereka terdiri daripada 37 penenun dari Kuching, Gedong, Rajang, Kota Samarahan, Limbang dan Lawas, 38 penghuni dari Penjara Puncak Borneo dan 45 graduan CENTEXS.
“Daripada 246 penyulam keringkam, mereka terdiri daripada 32 penyulam dari Kuching dan Padawan serta 214 graduan CENTEXS,” katanya.
Jelas beliau lagi, galeri tersebut akan menjadi platform jualan produk-produk Songket dan Keringkam daripada pelbagai komuniti di seluruh Sarawak termasuklah daripada Songket Sarapride Penjara Puncak Borneo dan ianya diuruskan oleh CENTEX Commercial Services (CCS) yang merupakan anak syarikat kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS