ISNIN, 28 MAC 2022
KUCHING: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di Sarawak untuk melakukan lawatan rasmi selama dua hari.
Keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disambut oleh isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Mengikut jadual, Raja Permaisuri Agong berkenan untuk melawat Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid dan seterusnya merasmikan galeri tersebut pada pukul 3 petang.
Seterusnya pada sebelah malam, Raja Permaisuri Agong akan menghadiri majlis santapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bersama tetamu-tetamu kenamaan negeri.
Manakala pada keesokan harinya, Raja Permaisuri Agong berkenaan untuk melawat Kompleks Penjara Puncak Borneo dan pada sebelah petang baginda berkenan melawat Borneo Cultures Museum.
Baginda dijangka berangkat pulang ke Kuantan pada pagi Rabu. -EDISI UKAS