ISNIN, 28 MAC 2022
BALEH : Majlis Perasmian Program Sejambak Kasih Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) 2022 anjuran SABATI Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh telah diadakan di Rumah Melinggang, Nangga Semawang pada Sabtu.
Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai.
Jelas beliau, program SABATI merupakan salah satu program yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Pengerusi SABATI bagi seluruh Sarawak adalah merupakan isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Menurut Pengerusi SABATI DUN Baleh, Priscilla Gare, program tersebut merupakan salah satu bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan Rumah Melinggang merupakan yang pertama bagi menjalankan program tersebut pada tahun ini.

Pada sebelah malam pula, Nicholas Kudi telah menghadiri Majlis Penghargaan dan Terima Kasih DUN Baleh anjuran Pusat Khidmat Baleh, Pergerakan Wanita dan Pemuda Baleh.
Menurutnya, majlis tersebut merupakan majlis penghargaan dan terima kasih kepada semua penduduk Baleh kerana telah menyokong beliau.
Rumah Melinggang dan Rumah Pioh merupakan satu-satunya rumah panjang yang mempunyai undian 100 peratus pada Pilihanraya Negeri ke-12 (PRN -12) yang lepas.
Turut hadir ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Susan Clement Ingun.-EDISI UKAS