ISNIN, 28 MAC 2022
SERIAN: Semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung-kampung Melayu di bawah Mukim Serian terus diperkukuhkan menerusi penganjuran program kemasyarakatan di peringkat kampung.
Duta Khas Perdana Menteri ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem berkata, penganjuran program seumpamanya juga mampu mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk kampung.
Menurutnya, Hari Keluarga Mukim Serian 2022 telah diadakan untuk menjalinkan silaturahim kampung-kampung Melayu di bawah Mukim Serian meliputi Kampung Hilir, Kampung Hulu, Kampung Munggu Limo, Kampung Bunga Siantan dan Kampung Bunga Raya Serian di perkarangan Masjid Lama Bahagian Serian pada Sabtu.
“Objektif penganjuran program ini adalah bagi membentuk kampung-kampung yang sihat, harmoni dan kekeluargaan di samping misi utama adalah bagi melihat penglibatan jawatankuasa kampung-kampung dalam program dan aktiviti yang dianjurkan Mukim Serian.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur Mukim Serian yang buat julung kalinya mengadakan program sebegini, usaha yang murni ini harus di sanjung dan dipuji,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Sri Richard Riot turut menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Kampung Hilir, Kampung Hulu, Kampung Munggu Limo, Kampung Bunga Siantan dan Kampung Bunga Raya serta melakukan ‘Flag Off’ bagi acara pertandingan lombak perauk bersalawat.
Beliau juga menyampaikan bantuan kewangan kepada seorang pelajar yang melanjutkan pengajian di Albukhary International University yang bapanya baru meninggal dunia.
Antara aktiviti yang diadakan adalah pertandingan lobak perauk, pertandingan ‘Ngupak Sabut Niur Sakinah’ , pertandingan memanah dan perauk berhias.
Hadiah-hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.
Turut hadir, Ketua Bahagian Kemajuan Keluarga Islam, Jamaludin Taim, Pegawai Agama Islam Bahagian Serian Ustaz Morshidi July dan Pengerusi Masjid Bahagian Serian, Adha Mahli. -EDISI UKAS