Acara ‘Fun Run’ & Pertandingan Futsal Meriahkan Spaoh

SELASA, 29 MAC 2022

SPAOH: Acara ‘Fun Run’ dan pertandingan futsal telah diadakan di Spaoh pada 26 hingga 27 Mac lepas.

Pagi 27 Mac dimulakan dengan penganjuran acara ‘I Love Spaoh Fun Run 1.0’ sejauh 7 kilometer yang dihadkan kepada 150 peserta.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr. Richard Rapu hadir di Riverfront Spaoh bagi merasmikan program anjuran Kelab Sukan Rekreasi Jang Bs Spaoh itu.

Sebelum pelepasan perlumbaan, acara dimulakan dengan aktiviti senaman zumba.

Selepas itu, Dr. Richard turut hadir bersama Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat di Arena Jang Bs Spaoh untuk menyaksikan pertandingan peringkat akhir Futsal Terbuka Piala Ahli Parlimen P204 Betong Edisi Pertama 2022.

Pertandingan tersebut disertai sejumlah 16 pasukan itu mulai 26 Mac lepas, manakala peringkat separuh akhir dan peringkat akhir dilangsungkan pada hari berikutnya.

Pada pertandingan futsal itu, MATRIX UNITED telah dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang hadiah sebanyak RM3,500.

Pasukan DAHLIA FT pula mendapat gelaran naib juara dengan hadiah sebanyak RM2,000 manakala NAFAS MUKAH dan KASMA FT berkongsi tempat ketiga di mana masing-masing mendapat RM1,000.

Kesemua empat pasukan berkenaan juga mendapat piala dan pingat sebagai hadiah kemenangan. -Edisi UKAS

add comment