SELASA, 29 MAC 2022
SEBAUH: Kerjasama agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam melaksanakan kerja-kerja komuniti wajar diperluaskan demi kepentingan masyarakat.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, melalui perkongsian ini peserta akan dapat menghayati kepentingan hubungan yang baik dan berkualiti tanpa mengira jantina, peringkat umur, etnik dan agama.
“Hubungan yang berkualiti memudahkan kita mencapai kebersamaan bagi mengukuh keharmonian sosial dalam komuniti.
“Apabila kebersamaan sudah dibudayakan, mudah untuk kita bersama menangani isu dan cabaran sosial yang dihadapi secara bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Randau Solidariti Komuniti Daerah Sebauh, Bintulu pada Sabtu.
Dato Sri Dr. Stephen Rundi yang juga AHli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menambah, apabila komuniti kita utuh dan bersatu padu, pembangunan seimbang akan mudah dicapai kerana pembangunan ekonomi dan fizikal dapat dilaksanakan dalam suasana sosial yang sejahtera, aman dan harmonis.
Malah, matlamat Kerajaan Sarawak tahun 2030 untuk mencapai status negeri maju dan pembangunan seimbang akan dapat dicapai sejajar dengan saranan Premier Sarawak untuk membangun masyarakat yang inklusif di negeri ini.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan simbolik penyerahan Urine Drug Test Kit daripada Pegawai Daerah Sebauh yang juga Pengerusi One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substance (OSC MIDS) Daerah Sebauh William Manggoi kepada Ketua Daerah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bintulu Mohd Dzulfikhar Abdul Rahim.
Hadir sama Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-kanak dan kesejahteraan Komuniti Jimmy Salau, pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Bahagian Bintulu Roztom Ritom dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Jenny Bangga.-EDISI UKAS