KPWK Jalin Kerjasama Dengan MYDIN Bantu Golongan Warga Emas

SELASA, 29 MAC 2022

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) menjalin kerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) melalui program iSarawakCare bagi membantu golongan warga emas di negeri ini.

Program seumpamanya adalah bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan ekonomi serta kualiti hidup masyarakat Sarawak khususnya golongan warga emas.

Majlis pemeteraian kerjasama tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin di MYDIN Petra Jaya pada Selasa.

Menurut Dato Sri Fatimah Abdullah, beliau amat mengalu-alukan keterlibatan semua pihak di dalam menjayakan program Kenyalang Gold Card (KGC) dalam menyediakan kemudahan dan manfaat dalam bentuk diskaun, rebat dan lain-lain kemudahan daripada pelbagai organisasi dan sektor komersial.

Tambah beliau, setakat ini, sebanyak 330 syarikat telah berdaftar menjadi Rakan Strategik KGC dan jumlah ini dijangka berubah dari semasa ke semasa.

“Difahamkan, seramai 267,172 orang telah memohon Kad KGC setakat 28 Februari 2022, mewakili 84.81 peratus daripada jumlah keseluruhan warga emas di Sarawak (315, 000 orang),” katanya.

Turut hadir dalam program itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus dan Mohammad Razi Sitam serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Noriah Ahmad.-EDISI UKAS

add comment