PAWE Lundu Akan Dibuka Tidak Lama Lagi

SELASA, 29 MAC 2022

LUNDU: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lundu bernilai RM1.4 juta kini telah siap dibina dan akan dibuka tidak lama lagi.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Datin Patinggi Jamilah Anu berkata, ia membolehkan ahli PAWE Lundu dan juga peserta Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menjalankan aktiviti mereka.

Sebagai salah seorang pengasas PAWE Lundu pada tahun 2017, beliau berasa bangga dan berharap agar semua pihak dapat menerima manfaat daripada pembinaan bangunan tersebut dan dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Tambahnya, sungguhpun sudah tidak menggalas tugas sebagai wakil rakyat di DUN Tanjong Datu, namun beliau akan sentiasa bersedia untuk membantu dalam usaha memajukan lagi PAWE Lundu.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Apresiasi PAWE Lundu 2022 di Dewan Mahligai Gading pada Isnin.

Dalam masa sama, Datuk Amar Jamilah turut menekankan mengenai kepentingan kecergasan kepada warga emas khususnya ahli-ahli PAWE Lundu.

Tegasnya, kesihatan dari segi fizikal dan mental perlu dijaga khususnya semasa pandemik COVID-19.

Terdahulu, Datuk Amar Jamilah berkesempatan melawat ke sekitar Pusat PAWE Lundu bersama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching.

Turut mengiringi beliau, Bekas Penyelaras PAWE Lundu, Norfadipah Saidi dan bekas Penyelia PAWE Lundu, Zamahari Julaihi.-EDISI UKAS

add comment