Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia Di Lawas Berjalan Lancar

SELASA, 29 MAC 2022

LAWAS: Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato Henry Sum Agong telah meninjau Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia, Lawas 2022 di Lapangan Institut Memandu Lawas, Jalan Punang pada Sabtu. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lawas berpuas hati dengan perjalanan program  yang lancar dengan dibantu 8 orang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Bahagian Limbang dengan kerjasama staf Institut Memandu Lawas. 

Program yang diadakan selama dua hari itu memberikan peserta latihan asas bagi memenuhi syarat-syarat pemilikan lesen sebelum diberikan lesen memandu Keluarga Malaysia. 

Mereka diberikan pendedahan tatacara mengendali motosikal secara praktikal, dengan kesemua peserta berjumlah 893 orang itu sebelum ini telah menghadiri taklimat secara teori di Dewan Gelangang Gaya Sport yang dikendalikan Pejabat JPJ Bahagian Lawas.

Program ini dibahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama seramai 400 orang pada 26 Mac 2022 dan kumpulan kedua pada 27 Mac 2022 seramai 493 orang akan hadir pada hari tersebut.

Hadir sama Setiausaha Suit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Mohd Nor Affindi dan pegawai-pegawai JPJ Bahagian Limbang.-EDISI UKAS

add comment